Tuesday, October 9, 2007

Hati Kecil Nana

Rasa dah makin free skit. Freelance jobpun dah byk yg siap... so bleh la start menulis...jeng..jeng...

Hari semakin gelap. Angin diluar bertiup semakin kuat. Langsir di pintu gelonsor depan terbang tinggi macam kain pengikat di belakang baju Superman. Cikgu Maria dan Cikgu Hana sibuk mengutip kain di ampaian. Ada juga dua, tiga helai baju kurung orang dewasa. Mungkin milik Cikgu Maria ataupun Cikgu Hana. Cikgu Maria menjerit tiba-tiba, entah mengapa. Oooohhh.... kain baju kurungnya tersingkap sedikit ke atas ditiup angin. Cikgu Hana berderai ketawa melihat telatah Cikgu Maria yang kelam-kabut memegang kain lalu diselit di antara kedua-dua belah kakinya. Titis-titis halus hujan mulai kelihatan di lantai simen di bahagian laman yang tidak berbumbung. Mula-mula sedikit dan akhirnya membasahi keseluruhan permukaan simen laman. Cikgu Hana dan Cikgu Maria tidak tunggu lagi. Sebaik merasakan titis hujan mengenai muka, mereka terus berlari angkat kaki ke dalam rumah.

Braaakkkkkk!

Langit mula memuntahkan isinya.

Di gigi pintu, kelihatan seorang budak perempuan kecil tengah duduk menelenggu. Seakan sedang menantikan sesuatu. Air mukanya bercampur baur antara sedih, gundah dan seakan geram. Kadang kala dia bangun menjenguk keluar tanpa mempedulikan tempias hujan yang terpercik ke lengan dan sebahagian bajunya. Cikgu Maria menghampiri gadis kecil itu, memujuk untuk membawanya masuk ke dalam rumah. “Nana, duduk di dalam ya. Hujan di luar tu. Nanti basah kena hujan. Nanti esok Nana demam.” pujuk Sang Cikgu. Si kecil tidak berkata apa-apa. Senyap tetapi telinga mendengar apa yang dikatakan cikgunya. Akur? Belum tentu. “Nanti kejap lagi Mama sampai la. Jalan jam ni sebab tu Mama lambat.” Cikgu Maria tidak putus asa.

Nana tidak peduli akan pujukan Cikgu Maria. Badannya dikeraskan tak kala Cikgu Maria menarik tangannya. Langsung tidak mahu berganjak. Puas berkali-kali dipujuk Cikgu Maria, tapi tidak diendahkannya. Nampaknya cubaan Cikgu Maria tidak berjaya. Dia tiada pilihan lain selain menggunakan senjata yang satu ini. Mengugut. “Nanti kalau Nana tak mahu masuk, baju Nana habis basah. Nanti bila Mama sampai, Mama mesti marah. Nanti Mama tak mahu bawa Nana balik ke rumah. Nanti Nana kena tinggal dengan cikgu di sini. Nana mahu tinggal dengan cikgu di sini?” ujur Cikgu Maria, sedikit menggertak. Nana tunduk menekun lantai, dia kemudian mendongak ke atas memandang Cikgu Maria dengan pandangan polos. Mukanya masam. Bibirnya sedikit dimuncungkan.

Cikgu Maria terus memujuk, “kita masuk ke dalam ya?”. Lambat-lambat Nana mengangguk. Antara rela dan paksa.


Amacam? Bleh jual tak story budak kecik nie?

No comments: