Wednesday, January 30, 2008

Artikel utk semua.....

Aku ada discussion ptg semalam. Discussion nie mungkin disebabkan email aku hari tu, :). Aku ikhlas dalam menulis email tu. Ada niat nak kenakan sesape? Tak rasanya, cuma aku rasa ada perkara yang perlu aku voice up so aku voice up. Masa aku nak email, aku dah tahu risiko yang akan aku terima. Tapi aku peduli apa. Aku bukan reka cipta cerita. Aku akan dibenci? Biar... aku akan dicop pencetus kontroversi? Biar la... Aku dikatakan kerek? Suka hati korang la...

Banyak isu yang di-discusskan. Tapi yang buat aku senyum sampai la nie isu aku pakai tudung juga salah satu isu yang dibincangkan. Aku faham dia concern tentang isu ni sebab kuathir ada hamba Allah yang brain wash aku sampai pakai tudung...hahaha! Before aku pakai tudung, aku dah fikir pasal nie - mesti ada yang ingat aku tertekan dengan persekitaran hingga 'memaksa' aku bertudung.

So kat sini....aku lampirkan artikel yang aku contribute utk sebuah buku yang berjudul Kenapa Saya Bertudung? Dan aku harap ini dapat mengelakkan anggapan serong terhadap imej baru aku ;):

Ramadhan itu detik kemenanganku....


Oleh Afadila Habib

Aku lahir dalam keluarga yang sederhana besar. 2 kakak dan 2 adik lelaki. Beza umurku dengan adik lelaki di bawahku menjangkau 9 tahun lebih, dan ini membuatkan aku dimanjakan keluarga. Malah diriku dipanggil 'adik' manakala kedua adik lelakiku hanya dipanggil dengan nama mereka. Sebelum aku dilahirkan sememangnya ibuku mendambakan seorang anak lelaki. Almaklum sahaja setelah melahirkan kakak-kakakku, ibu memang mengharapkan aku lahir sebagai anak lelaki. Namun ibu tidak pernah bersungut lantas anak ketiga (aku) yang dilahirkan tetap perempuan. Tetapi sesuatu yang pasti, sikapku memang mirip kanak-kanak lelaki sejak kecil lagi. Tidak suka bergaul dengan perempuan, memakai seluar pendek dan T-shirt sepanjang masa, dan melakukan aktiviti kanak-kanak lelaki. Sikapku sendiri agak keras. Keras kepala, keras hati, pantang ditegur sementelah dengan cara yang kasar.

Walau ibu bapaku tidaklah setinggi mana pengajian mereka dalam ilmu agama, namun perkara wajib telah ditanamkan sejak kecil dalam diri kami 5 beradik. Soal sembahyang, mengaji, puasa, larangan terhadap perkara mungkar memang selalu ditegaskan oleh mereka. Jika tidak melakukannya, bak kata orang “naik cairlah tahi telinga” dibebelkan oleh ibu bapaku. Tetapi soal bertudung tidak pernah ibu atau abah suarakan kepada kami, 3 beradik perempuan ini. Mungkin ibu tidak mahu mendesak, begitulah telahanku. Menjelang usia remaja, aku masih berperangai seperti remaja lelaki, kasar dan agresif. Kakak-kakakku semakin menunjukkan ciri-ciri kewanitaan mereka. Ketika aku berusia 14 tahun, kakak-kakakku telah mulai bertudung tanpa diminta oleh sesiapa. Aku bertanya kepada mereka, “Kenapa?”. Mudah sahaja jawapan mereka, “Perempuan wajib tutup aurat.” Aku senyum. Sedikitpun tidak terasa dengan jawapan mereka kerana aku 'kurang' perasan yang aku juga adalah seorang perempuan.

Zaman Pengajian di Universiti

Perangai tomboyku semakin terhakis semakin aku meningkat dewasa. Syukur kepada Allah kerana mengeluarkan aku daripada kekeliruan identiti diri. Alhamdulillah pelajaran aku juga berjalan dengan lancar. Hari pertama mendaftar diri di universiti, aku lihat hampir 70 peratus freshie wanita Islam memakai tudung. Aku dapat rasakan ada mata sinis, terutama daripada pelajar senior terhadapku. “Kenapa? Mungkin kerana aku tidak bertudung? Ah! Peduli apa. Hendak mengata atau mengutuk? Silakan. Tak ada yang menghalang. Bukan luak manapun kalau dijeling, diumpat, malah disindir sekalipun.” Fikirku ketika itu.

Semesta demi semesta, aku lihat semakin kurang bilangan pelajar wanita di universitiku yang tidak bertudung. Namun aku?, bukan salah seorang daripadanya. Ini suatu fenomena yang baik, tetapi ironisnya, ramai di kalangan mereka yang hanya bertudung ketika ke kuliah atau dalam kawasan kampus. Jadi fikirku, untuk apa bertudung? Hanya sebagai uniform? Hanya sekadar mengelakkan diri dikutuk? Hanya kerana tidak tahan dengan tekanan persekitaran? Hanya kerana hal duniawi? Bukan atas rasa keinsafan dan tuntutan daripada Allah?

Namun, siapalah aku untuk menilai diri orang lain, apabila diri sendiri masih dalam kejahilan. Aku faham tekanan yang dialami oleh siswi wanita yang tidak bertudung. Mereka sering kali disindir, dipandang serong dan mudah sekali mendapat tohmahan. Aku juga salah seorang yang mengalaminya. Pernah suatu ketika, di bilik kuliah, beberapa siswa secara terang-terangan meletakkan aku sebagai seorang kristian kerana tidak bertudung. Pernah juga aku dihentam dan disindir oleh seorang pensyarah dengan kata-kata cukup pedas hampir setiap kali di kelasnya kerana aku tidak bertudung dan setiap kali itu jugalah rakan sekelas akan menoleh memandangku. Bayangkan semua mata di dalam kelas tertumpu kepadaku dengan pelbagai pandangan! Dan akhirnya setelah hampir dua bulan mengikuti kuliah pensyarah berkenaan, aku mengambil keputusan untuk menarik diri dari kelas tersebut. Hati aku memberontak, “Beginikah cara berdakwah, begini cara mengajak orang ke arah kebaikan?”. Tidak sedikitpun keinsafan yang timbul dalam hati ini. Malah hati aku menjadi semakin keras, memberontak. Aku menanam azam, “Jangan haraplah aku hendak tunduk dengan kutukan orang! Jangan ingat mulut laser mereka boleh buat aku pakai tudung. Orang alim konon, tapi memalukan orang di khalayak ramai, menjatuhkan air muka orang!”. Begitulah antara luahan rasa sakit hati. Tidak sekelumitpun kata-kata mereka itu yang berjaya mengetuk pintu hati aku. Dan yang pasti, kata-kata mereka membuatkan aku semakin menjadi hati batu, bagiku, walaupun aku tidak bertudung, aku seorang muslim, aku solat dan berpuasa, aku tidak melakukan dosa-dosa besar, tetapi mengapa aku dipandang hina seperti seorang kafir?!

Alam Pekerjaan

Setelah tamat pengajian, aku berjaya menjawat jawatan di beberapa syarikat yang agak besar yang kebanyakannya milik bukan Melayu. Aku dikelilingi oleh rakan-rakan kerja pelbagai bangsa yang kebanyakannya juga bukan Melayu. Mereka jugalah rakan-rakan yang sering diajak untuk melepak bersama di luar waktu kerja. Topik perbualan kami pelbagai tetapi yang pasti, perbincangan tentang agama, apatah Islam tidak pernah berlaku. Keadaan ini membuatkan aku hanyut dan tidak langsung memikirkan tentang persoalan Islam.

Namun, aku cukup bernasib baik kerana mempunyai ibu bapa dan keluarga yang selalu sentiasa mengingatkan aku tentang tanggungjawab sebagai seorang Islam. Keluarga adalah nikmat dan anugerah tuhan yang cukup aku syukuri kerana merekalah pembimbing aku terutama ketika aku seakan hilang arah. Ibu ayahku tidak pernah jelak membawaku ke arah kebaikan. Semenjak lahir, aku membesar dengan iringi doa mereka supaya aku sentiasa bahagia di dunia dan akhirat. Mungkin berkat doa kedua ibu bapaku, hatiku makin terbuka menerima ajaran Islam. Sering kali ditikar sembahyang aku berdoa supaya tuhan membuka hatiku ke arah kebaikan dan menghindarkan diriku ini daripada kemungkaran. Aku mulai menganalisa tentang diriku, tentang sejauh mana ketaatan aku terhadap Allah. Aku mulai berfikir tentang isu bertudung. Namun hatiku masih belum cukup bersedia. Aku sedar tentang dosa yang aku tanggung akibat dari keenggananku untuk bertudung dan betapa ibu bapaku turut mendapat bahagian dosa yang sama atas kedegilanku. Tetapi kenapa diri ini cukup susah untuk melaksanakan tanggungjawab seorang muslim yang satu ini? Adakah kerana persekitaran pekerjaan serta rakan taulan yang turut mempengaruhiku?

Sesungguhnya Allah itu maha pemurah. Walaupun aku bukanlah hamba yang cukup taat, aku sering diberikan segala yang aku pinta. Ibu bapa dan keluarga yang cukup menyayangi, rezeki yang baik, kejayaan demi kejayaan serta sebuah perkahwinan yang cukup membahagiakan. Setelah bertemu jodoh, aku semakin terfikir tentang corak kehidupan yang bakal kami bina. Pastinya aku juga seperti ibu bapaku, menginginkan anak yang solehah sebagai harta di dunia dan akhirat. Bagaimana aku bakal menjadi tauladan terhadap anak-anak yang bakal aku lahirkan sekiranya diri sendiri bukanlah hamba yang cukup patuh kepada-Nya? Maka, tidak putus-putus doaku kepada Allah supaya memberi sinar ke dalam hatiku ke jalan yang lurus.

Detik Kemenanganku

Sesungguhnya keputusanku untuk berhenti kerja dari syarikat di Shah Alam merupakan jalan yang telah dibuka oleh Allah kepadaku untuk aku menjadi hamba-Nya yang lebih bertakwa. Aku bertukar kerja di sebuah syarikat yang berhampiran dengan rumahku. Suasana dan persekitaran kerja di syarikat baru itu cukup berbeza dari apa yang pernah aku alami sejak 9 tahun di alam pekerjaan. Rakan-rakan sekerja kini tidak seperti sebelumnya, kesemua mereka adalah Melayu dan kesemua pekerja wanita bertudung. Aku akui aku agak kuathir ketika di awal kehadiranku di pejabat baru itu. Aku kuathir pengalaman lepas akan berulang memandangkan hanya aku dan seorang lagi pekerja wanita baru yang tidak bertudung. Namun, sikap mereka amat berbeza daripada pengalamanku yang sudah-sudah. Walaupun aku tidak bertudung, tidak seorangpun daripada mereka meminggirkanku apatah lagi melihatku dengan pandangan menghina mahupun sinis walaupun ada di kalangan mereka bergelar ustaz an ustazah. Aku dapat bekerja bersama dengan baik sekali di sana tanpa perasaan diri di pandang serong oleh mereka.

Cara dakwah Islam yang dibawakan mereka cukup sederhana tetapi amat meninggalkan kesan dalam jiwa insan yang sepertiku. Aku dapat melihat keindahan, kesantunan, kecantikan dan kehemahan Islam menerusi sikap yang dipamerkan oleh rakan-rakan pejabat baruku ini. Anggapan bahawa golongan alim mudah meminggirkan dan menghina mereka yang jahil semakin terhakis.

Setelah beberapa bulan bekerja di sana, Allah telah membuka hatiku untuk memakai tudung. Aku lahirkan hasrat itu kepada suamiku. Dia tersenyum sambil menjawab, “Dah bersedia? Kalau dah baguslah.”. Kami pergi membeli tudung untukku bersama. Dan Ramadhan yang lepas, aku merasakan masa yang terbaik untuk aku mula memakai tudung. Syukur kepada Allah, detik yang cukup aku kuathir dan merisaukan dapat aku jalani dengan baik sekali. Ramai yang melahirkan rasa syukur terhadap penampilan baruku ini dan yang benar-benar gembira adalah kedua ibu bapaku. Aku dapat melihat air muka ibu bapaku yang cukup bahagia tak kala pertama kali melihat aku ke rumah mereka dengan bertudung. Begitu juga dengan kakak-kakakku.

Ramadhan kali ini cukup bermakna untuk diriku. Aku telah berjaya menjalankan tanggungjawab muslimah yang satu ini dengan seikhlas-ikhlasnya. Aku telah dapat mengelakkan suamiku dari bebanan dosa akibat daripada isteri yang tidak bertudung. Aku telah berjaya mencairkan hati batu ini. Semuanya berkat kehendak-Nya.

Sebulan setelah aku bertudung, aku dikejutkan dengan kematian sahabat baikku. Beliau sememangnya seorang insan yang cukup baik, menjaga tutur kata dan amalan solatnya serta amalan-amalan yang lain. Namun, ada satu yang kurang dalam dirinya sebagai wanita muslim, dia tidak bertudung. Dan di saat akhir hayatnya juga dia tidak sempat bertudung. Ketika melawat jenazahnya, teringat aku tentang perbualan kami yang sering berkisar tentang fesyen terkini, gaya rambut terbaru dan sebagainya termasuk isu bertudung. Betapa kami sedar tentang kewajiban bertudung buat setiap wanita Islam tetapi isu 'tidak bersedia' sering kami jadikan sebagai alasan. Betapa kematian beliau cukup menginsafkan. Betapa kecantikan dan segalanya di dunia ini hanya sementara. Apabila maut hampir tiba, segala kecantikan rupa entah ke mana dan bukan lagi isu utama. Yang hanya dikira adalah ketaatan kepada-Nya. Betapa aku bersyukur dengan rahmat Allah yang membuka hatiku untuk bertudung sebelum maut datang menjemputku. Azamku tidak hanya berhenti setakat itu sahaja, aku bercita-cita untuk menjadi muslimah yang lebih baik, memperbaiki amalan yang sedia ada dan menimba apa yang masih kosong di dada. Semoga Allah terus memberikanku hidayah dan menetapkan hatiku ke arah kebaikan. Ameen!






No comments: